Bajet Gaji Bulanan: Cara Susun Komitmen Bulanan & Elak Defisit
Ramai orang hairan kenapa baki dalam akaun bank cepat habis walaupun gaji baru masuk beberapa hari. Situasi ini tidak semestinya berpunca daripada gaji rendah.
Dalam banyak kes, puncanya ialah ketiadaan bajet gaji bulanan yang jelas, menyebabkan perbelanjaan dibuat secara spontan sehingga membawa pada defisit kewangan pada hujung bulan.
Secara ringkas, bajet gaji bulanan ialah pelan untuk mengagihkan gaji bersih anda kepada komitmen tetap, keperluan, kehendak, dan simpanan. Dengan susunan yang jelas, anda lebih mudah mengawal aliran tunai dan mengelakkan perbelanjaan melebihi kemampuan.
Kenapa Bajet Gaji Bulanan Penting?
Bajet bukan bermaksud anda perlu hidup terlalu berjimat atau menyekat setiap perbelanjaan. Sebaliknya, ia membantu anda memahami ke mana wang pergi dan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
Dengan bajet gaji bulanan yang realistik, anda boleh:
● mengetahui jumlah yang benar-benar boleh dibelanjakan setiap bulan;
● mengurus komitmen bulanan dengan lebih teratur;
● mengurangkan tekanan kewangan;
● membina tabungan secara konsisten; dan
● mengelakkan defisit pada hujung bulan
Matlamat utama bukanlah menghasilkan bajet yang sempurna sejak awal. Sebaliknya, yang lebih penting ialah mengamalkannya secara konsisten dan memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.
Maksud Pendapatan Kasar dan Gaji Bersih
Pendapatan kasar (“gross income”) ialah jumlah pendapatan sebelum sebarang potongan dibuat. Ia merangkumi gaji pokok, elaun tetap, bayaran kerja lebih masa (OT), komisen dan bonus.
Sebagai contoh, jika surat tawaran kerja anda menyatakan gaji RM3,000 sebulan, jumlah itu ialah pendapatan kasar anda.
Gaji bersih (“net income”) pula ialah jumlah yang benar-benar dikreditkan ke dalam akaun anda selepas potongan seperti KWSP, PERKESO, EIS, dan Potongan Cukai Berjadual (PCB), jika berkenaan.
Sebagai contoh, jika pendapatan kasar anda ialah RM3,000 sebulan, jumlah yang diterima selepas potongan mungkin sekitar RM2,600 hingga RM2,700.
Semasa menyediakan bajet gaji bulanan, gunakan gaji bersih, bukan pendapatan kasar. Ini kerana gaji bersih ialah jumlah sebenar yang tersedia untuk dibelanjakan, disimpan dan digunakan bagi memenuhi komitmen bulanan.
Apa Itu Komitmen Bulanan
Komitmen bulanan ialah bayaran berulang yang perlu didahulukan setiap bulan. Antara komitmen bulanan yang biasa ditanggung oleh rakyat Malaysia adalah:
● Sewa rumah atau bilik
● Ansuran kereta atau motorsikal
● Bayaran PTPTN
● Bil elektrik dan air
● Bil telefon dan internet
● Insuran atau takaful
● Bantuan kewangan kepada ibu bapa atau keluarga
Walaupun sesetengah bayaran kelihatan kecil, jumlah keseluruhannya boleh mengambil bahagian besar daripada gaji bersih anda. Oleh itu, komitmen bulanan perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum merancang perbelanjaan lain.
Bezakan Komitmen Tetap, Keperluan dan Kehendak
Mengasingkan perbelanjaan kepada tiga kategori memudahkan anda mengurus bajet gaji bulanan dengan lebih berkesan:
● Komitmen Tetap: Perbelanjaan yang wajib dibayar setiap bulan.
● Keperluan: Perbelanjaan asas untuk kehidupan harian, seperti makanan, pengangkutan dan barangan dapur.
● Kehendak: Perbelanjaan yang bersifat pilihan, seperti hiburan, makan di luar atau percutian.
Semasa menyediakan bajet, utamakan komitmen tetap terlebih dahulu, diikuti keperluan harian, dan akhir sekali kehendak. Pendekatan ini membantu memastikan perbelanjaan anda sentiasa berada dalam kemampuan.
Cara Membuat Bajet Gaji Bulanan Yang Ringkas Dan Realistik
(Tip Menjimatkan Wang Semasa Menyediakan Bajet Gaji Bulanan)
1. Mulakan dengan gaji bersih
Tulis gaji bersih yang anda terima setiap bulan.
Contoh:
Gaji bersih : RM2,800
Ini adalah jumlah sebenar yang boleh digunakan untuk merancang bajet bulanan anda.
2. Senaraikan semua komitmen bulanan
Senaraikan semua komitmen bulanan yang perlu dibayar terlebih dahulu.
Contoh:
● Sewa Bilik: RM500
● Ansuran Motosikal: RM300
● Bil telefon dan internet: RM100
● Bantuan keluarga: RM200
Jumlah Komitmen = RM1,100
Jika gaji bersih anda ialah RM2,800, baki yang tinggal ialah RM1,700. Baki inilah yang boleh diperuntukkan untuk keperluan harian, kehendak dan simpanan.
3. Tetapkan had perbelanjaan harian
Perbelanjaan yang tidak dikawal boleh menyebabkan bajet lari daripada perancangan. Oleh itu, tetapkan had perbelanjaan yang realistik untuk:
● Makanan
● Pengangkutan
● Barangan dapur
● Perbelanjaan peribadi
Sebagai panduan asas, anda boleh menggunakan kaedah 50/30/20 yang diperkenalkan oleh KWSP. Walau bagaimanapun, struktur bajet ini boleh disesuaikan mengikut tahap pendapatan dan komitmen kewangan anda.
Bagi individu yang mempunyai pendapatan lebih terhad, pendekatan seperti 70/20/10 atau 60/30/10 mungkin lebih sesuai.
4. Simpan dulu, walaupun sedikit
Tidak perlu menunggu sehingga mempunyai lebihan yang besar untuk mula menyimpan. Simpanan sebanyak RM20 atau RM50 sebulan juga merupakan permulaan yang baik.
Konsistensi lebih penting daripada jumlah simpanan. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Tabiat menyimpan secara konsisten dapat membantu anda membina dana kecemasan dan meningkatkan kestabilan kewangan.
5. Semak bajet setiap minggu
Luangkan sedikit masa setiap minggu untuk menyemak bajet anda. Dengan cara ini, anda boleh mengenal pasti sebarang perubahan dan membuat pelarasan awal:
Semasa menyemak bajet, pastikan anda menilai:
● Jumlah wang yang telah dibelanjakan
● Sama ada perbelanjaan masih mengikut bajet
● Perbelanjaan yang boleh dikurangkan atau dielakkan.
Perkara Yang Patut Dielakkan Supaya Bajet Tidak Bocor
(Tip Menjimatkan Wang Tambahan)
Terlalu Banyak Mengguna BNPL
Kemudahan Buy Now, Pay Later (BNPL) mungkin nampak ringan kerana dibayar secara ansuran kecil. Namun, jika digunakan terlalu kerap, ia boleh meningkatkan komitmen bulanan tanpa disedari. Sebelum menggunakan BNPL, pastikan pembelian itu benar-benar diperlukan dan masih dalam kemampuan bajet anda.
Pelan Ansuran Dengan Faedah
Jangan hanya melihat jumlah bayaran bulanan. Semak juga jumlah keseluruhan yang perlu dibayar sepanjang tempoh pembiayaan. Walaupun pelan ansuran 0% lebih baik berbanding pelan yang dikenakan faedah, pembelian itu tetap perlu sesuai dengan bajet anda.
Mengumpul Terlalu Banyak Komitmen Kecil
Langganan penstriman, pembelian aplikasi dan naik taraf gajet mungkin nampak kecil, namun, apabila digabungkan, jumlahnya boleh membebankan kewangan anda. Semak komitmen kecil anda secara berkala dan hentikan yang tidak lagi diperlukan.
Menganggap OT, Bonus, atau Pendapatan Sampingan Sebagai Gaji Tetap
Bayaran kerja lebih masa (OT), bonus, dan pendapatan sampingan tidak semestinya diterima setiap bulan. Oleh itu, jangan jadikannya asas dalam penyediaan bajet. Sebaliknya, gunakan pendapatan tambahan ini untuk membina simpanan, dana kecemasan atau mencapai matlamat kewangan jangka panjang.
Kesimpulan: Matlamatnya Bukan Bajet Yang Sempurna, Tetapi Bajet Yang Boleh Diikuti
Matlamat sebenar bajet gaji bulanan adalah untuk membantu anda memahami jumlah wang yang benar-benar boleh dibelanjakan, mengurus komitmen bulanan dengan lebih baik, dan mengelakkan defisit kewangan setiap bulan.
Asas bajet yang baik bermula dengan memahami perbezaan antara pendapatan kasar dan gaji bersih. Sentiasa sediakan bajet berdasarkan gaji bersih, iaitu jumlah sebenar yang dikreditkan ke dalam akaun bank anda selepas semua potongan dibuat.
Pengurusan kewangan tidak perlu sempurna. Walaupun anda hanya mampu menyimpan sedikit pada setiap bulan, langkah kecil yang dibuat secara konsisten tetap boleh membantu membina tabiat kewangan yang lebih sihat dan membantu mencapai kestabilan kewangan dalam jangka panjang.
Mengenai ACOM(M)
ACOM (M) ialah penyedia pembiayaan peribadi dalam talian berlesen KPKT di Malaysia dan memiliki pensijilan ISO/IEC 27001:2022. Kami menawarkan pinjaman yang telus dan dipercayai, dengan proses permohonan mudah serta kelulusan pantas.
Ikuti blog kami untuk mendapatkan lebih banyak tip berguna tentang kewangan peribadi dan pengurusan wang secara bertanggungjawab. Anda juga boleh mendaftar akaun untuk membuat permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian.
