Kadar Faedah Pinjaman Peribadi: Cara Kira Interest Loan
02 Jul 2026

Kadar Faedah Pinjaman Peribadi: Cara Kira Interest Loan

Salah satu perkara paling penting tetapi sering disalahfahami apabila melibatkan pinjaman wang adalah kadar faedah. Memahami kos pinjaman dan kadar faedah sangat penting kerana kedua-duanya mempengaruhi jumlah bayaran balik anda.

Bagi pinjaman peribadi, kadar faedah yang ditawarkan oleh pemberi pinjaman bergantung pada profil kredit dan tahap risiko peminjam. Ia juga bergantung pada sama ada pinjaman tersebut ialah pinjaman bercagar atau tidak bercagar.

Dalam artikel ini, kami akan membincangkan:

       Apakah itu kadar faedah pinjaman peribadi?

       Bagaimana pinjaman bercagar dan tidak bercagar mempengaruhi kadar faedah?

       Mengapa kadar faedah pinjaman peribadi biasanya lebih tinggi berbanding pembiayaan lain seperti pinjaman rumah atau pinjaman kenderaan?

       Faktor yang menentukan kadar faedah yang mungkin anda terima

       Cara kira interest loan dan cara kira faedah untuk bayaran balik pinjaman

       Cara menilai sama ada pinjaman itu sesuai untuk anda

 

Dengan memahami bagaimana kadar faedah pinjaman peribadi berfungsi dan mengapa kadarnya berbeza-beza, anda boleh membuat keputusan kewangan yang lebih baik.

 

Apakah itu Kadar Faedah Pinjaman Peribadi?

Secara amnya, apabila pemberi pinjam meminjamkan wang kepada peminjam, sentiasa terdapat risiko bahawa peminjam mungkin tidak membayar balik pinjaman tersebut.

Perkara yang sama terpakai kepada pinjaman peribadi. Untuk menampung risiko ini, pemberi pinjaman akan mengenakan kadar faedah. Ini merupakan kos untuk meminjam wang daripada pemberi pinjam, yang perlu dibayar selain daripada jumlah asal yang dipinjam (prinsipal).

Sebagai contoh, jika anda meminjam RM10,000 daripada penyedia pinjaman peribadi, anda bukan sahaja perlu membayar balik RM10,000 tersebut, tetapi juga faedah yang dikenakan sepanjang tempoh pinjaman.

Semakin tinggi kadar faedah, semakin mahal kos keseluruhan pinjaman itu.

Kadar faedah akan memberi kesan secara langsung kepada ansuran bulanan dan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar balik sepanjang tempoh pinjaman. Oleh itu, penting untuk anda memahami cara kadar faedah berfungsi sebelum membuat komitmen terhadap mana-mana pinjaman peribadi.

Pinjaman Bercagar vs Tidak Bercagar: Bagaimana Kadar Faedah Dipengaruhi?

Mari kita lihat terlebih dahulu perbezaan antara pinjaman bercagar dan pinjaman tidak bercagar, serta bagaimana kedua-duanya mempengaruhi kadar faedah.

Pinjaman peribadi boleh sama ada bercagar atau tidak bercagar, bergantung pada produk dan penyedia pinjaman.

Jenis Pinjaman

Pinjaman Bercagar

Pinjaman Tidak Bercagar

Apakah perbezaan

Pinjaman dijamin dengan cagaran, iaitu aset yang boleh dituntut oleh pemberi pinjam sekiranya peminjam gagal membayar balik pinjaman tersebut.

 

Contoh cagaran termasuk hartanah, kenderaan, deposit tetap, atau saham.

Pinjaman yang tidak memerlukan sebarang aset sebagai cagaran.

 

Kelulusan biasanya berdasarkan profil dan kedudukan kewangan keseluruhan peminjam.

Manfaat

• Kadar faedah yang lebih rendah

• Tempoh bayaran balik yang lebih panjang

• Potensi jumlah pinjaman yang lebih tinggi

 

 

• Permohonan dan kelulusan yang lebih mudah

• Penyaluran dana yang cepat

• Boleh digunakan untuk pelbagai tujuan

• Tiada cagaran diperlukan

Contoh produk pinjaman

• Pinjaman perumahan (gadai janji)

• Pinjaman kenderaan (sewa beli)

Sebahagian pinjaman peribadi

• Kebanyakan adalah pinjaman peribadi

• Kad kredit dan sesetengah kemudahan kredit

• Pinjaman jangka pendek lain

 

 

Implikasi ke atas kadar faedah

Pemberi pinjaman mempunyai perlindungan melalui cagaran, justeru boleh menawarkan kadar faedah yang lebih rendah dan menarik.

Pemberi pinjaman menanggung risiko yang lebih tinggi, justeru kadar faedah yang dikenakan adalah lebih tinggi.

 

Mengapa Kadar Faedah Pinjaman Peribadi Biasanya Lebih Tinggi?

Walaupun sesetengah pinjaman peribadi ialah pinjaman bercagar, kadar faedahnya selalunya masih lebih tinggi berbanding pinjaman rumah atau pinjaman kenderaan. Ini kerana pinjaman peribadi lazimnya mempunyai risiko pemberian pinjaman yang lebih tinggi dan tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Di Malaysia, pemberi pinjaman wang berlesen tertakluk kepada had kadar faedah di bawah Kawalan Kredit Komuniti oleh KPKT. Di bawah kawalan ini, kadar faedah tahunan maksimum ialah 12% bagi pinjaman bercagar, manakala pinjaman tidak bercagar tidak boleh melebihi 18%.

Sebagai perbandingan, bank dan institusi kewangan sering menawarkan pinjaman perumahan pada kadar lebih rendah, sekitar 5% atau kurang. Ini kerana pemberi pinjam mempunyai jaminan yang lebih kukuh. Jika peminjam gagal membayar balik pinjaman, pemberi pinjam boleh menyita dan menjual harta tersebut untuk mendapatkan semula jumlah tertunggak, sekali gus  mengurangkan risiko kepada pemberi pinjaman dengan ketara.

Walaupun pinjaman peribadi bercagar memerlukan cagaran, kadar faedahnya masih boleh menjadi lebih tinggi, iaitu sehingga 12% setahun. Ini kerana cagaran tersebut mungkin tidak sekuat jaminan dalam pinjaman perumahan atau pembiayaan kenderaan, dan aset itu juga mungkin lebih sukar untuk diperoleh semula atau dijual.

Sebagai contoh:

       Hartanah lazimnya mengekalkan nilai dalam jangka panjang dan menyokong pinjaman perumahan

       Pembiayaan kenderaan pula dikaitkan dengan aset berdaftar yang lebih mudah dituntut semula

Sebaliknya, pinjaman peribadi bercagar mungkin melibatkan:

       Aset yang nilainya lebih rendah atau berubah-ubah

       Cagaran yang lebih sukar diperoleh semula atau dicairkan

       Tempoh pinjaman yang lebih pendek

       Jumlah pembiayaan yang lebih kecil

Pinjaman peribadi tidak bercagar pula ialah pinjaman yang diberikan tanpa mengambil sebarang aset sebagai cagaran. Untuk mengimbangi risiko yang lebih tinggi, pinjaman peribadi tidak bercagar biasanya mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi, yang boleh mencecah sehingga 18% setahun (p.a).

Dengan kata lain, kadar faedah yang dikenakan mencerminkan tahap risiko kegagalan bayaran balik yang dinilai oleh pemberi pinjaman. Semakin tinggi risiko yang dilihat, semakin tinggi kadar faedah yang mungkin ditawarkan.

Memandangkan pinjaman peribadi biasanya lebih cepat dan fleksibel, pemberi pinjaman juga sering menanggung risiko operasi dan kredit yang lebih tinggi. Semua faktor ini menyumbang kepada kadar faedah pinjaman peribadi yang lebih tinggi.

Ini tidak bermaksud pinjaman peribadi itu buruk. Ia cuma berfungsi untuk tujuan yang berbeza — menawarkan fleksibiliti dan akses cepat kepada dana, tanpa cagaran, tetapi pada kos yang mencerminkan risikonya.

    

Cara Kira Interest Loan dan Cara Kira Faedah Pinjaman Peribadi

Sebelum mengambil pinjaman, adalah penting untuk memahami jumlah yang perlu dibayar setiap bulan. Pada masa yang sama, anda juga perlu mengetahui jumlah keseluruhan yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman, termasuk prinsipal dan faedah yang dikenakan.

Untuk tujuan ini, ACOM menyediakan kalkulator pinjaman peribadi dalam talian untuk membantu anda menganggar bayaran balik pinjaman anda. Anda boleh mengakses kalkulator tersebut di sini: Kalkulator Pinjaman Peribadi. Kalkulator ini membolehkan anda boleh menyesuaikan jumlah pinjaman, kadar faedah, dan tempoh pinjaman untuk melihat berapa banyak yang mungkin dikenakan setiap bulan serta jumlah keseluruhan yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Dengan menggunakan kalkulator ini, anda boleh mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Contoh Pengiraan:

       Jumlah pinjaman: RM20,000

       Kadar faedah: 8% setahun

       Tempoh pinjaman: 3 tahun

Berdasarkan maklumat di atas, ansuran bulanan dianggarkan sekitar RM680 hingga RM690. Sepanjang tempoh 3 tahun, jumlah bayaran balik keseluruhan adalah sekitar RM24,800.

Jika tempoh pinjaman dipanjangkan kepada 5 tahun, ansuran bulanan mungkin berkurang kepada sekitar RM460 hingga RM470. Namun begitu, jumlah keseluruhan bayaran balik boleh meningkat kepada sekitar RM28,000 kerana faedah dikenakan untuk tempoh yang lebih lama.

Mengapa Jumlah Bayaran Balik Penting?

Kebanyakan peminjam cenderung memberi tumpuan kepada ansuran bulanan kerana ia mencerminkan kemampuan kewangan serta-merta.

Namun, jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman adalah sama penting. Seperti yang ditunjukkan di atas, ansuran bulanan yang lebih rendah dengan tempoh pembayaran yang lebih panjang mungkin kelihatan menarik. Walaubagaimanapun, ia sering menyebabkan anda membayar lebih banyak faedah secara keseluruhan, sekali gus menjadikan pinjaman lebih mahal

Sebaliknya, ansuran bulanan yang lebih tinggi dengan tempoh pinjaman yang lebih pendek boleh mengurangkan jumlah faedah yang dikenakan dan menurunkan kos keseluruhan pinjaman.

Justeru, perkara paling penting ialah mencari keseimbangan antara kemampuan bayaran bulanan dan usaha meminimumkan jumlah keseluruhan bayaran balik.

Adakah Kadar Faedah Lebih Tinggi Sentiasa Bermaksud Pinjaman Itu Tidak Baik?

Tidak semestinya.

Kadar faedah yang lebih tinggi selalunya mencerminkan risiko yang lebih tinggi kepada pemberi pinjaman. Namun, itu tidak semestinya bermaksud pinjaman tersebut tidak sesuai untuk anda.

Terdapat situasi kewangan di mana pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang lebih tinggi masih boleh dipertimbangkan, terutamanya apabila anda memerlukan akses dana dengan segera atau apabila pilihan pembiayaan lain tidak tersedia.

Apa yang lebih penting ialah sama ada pinjaman tersebut benar-benar sesuai dengan keperluan anda pada waktu itu.

Sebelum membuat keputusan untuk meminjam, anda perlu:

       Memahami semua terma dan syarat

       Menilai kemampuan bayaran bulanan

       Mempertimbangkan jumlah kos keseluruhan bayaran balik

Kesimpulan: Pinjam Mengikut Kemampuan, Bukan Sekadar Kelulusan

Diluluskan untuk pinjaman tidak bermaksud anda perlu terus menerimanya secara automatik. Sebelum menerima pinjaman yang telah diluluskan, luangkan masa untuk menilai sama ada pinjaman tersebut benar-benar mampu anda tanggung dalam jangka panjang.

 

Untuk berbuat demikian, lihat lebih daripada sekadar kadar faedah yang dipaparkan. Semak juga aliran tunai bulanan anda, komitmen sedia ada, matlamat kewangan masa depan dan keperluan semasa. Pinjaman yang dipilih dengan baik sepatutnya membantu memenuhi keperluan anda tanpa mewujudkan tekanan kewangan yang tidak perlu pada masa hadapan.

Mengenai ACOM(M)

ACOM (M) ialah penyedia pembiayaan peribadi dalam talian berlesen KPKT di Malaysia dan memiliki pensijilan ISO/IEC 27001:2022. Kami menawarkan pinjaman yang telus dan dipercayai, dengan proses permohonan mudah serta kelulusan pantas.

Ikuti blog kami untuk mendapatkan lebih banyak tip berguna tentang kewangan peribadi dan pengurusan wang secara bertanggungjawab. Anda juga boleh mendaftar akaun untuk membuat permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian.